DOHA – Ketiadaan Karim Benzema dianggap sebagai ‘rahmat’ buat penyerang Perancis, Olivier Giroud apabila dia dijangka mengetuai jentera serangan pasukan menjelang pertemuan dengan Australia pada aksi Piala Dunia 2022 di Stadium Al Janoub awal pagi esok.
Benzema sah tidak akan beraksi pada saingan Piala Dunia kali ini selepas pemenang anugerah Ballon d’Or itu mengalami kecederaan pada otot paha ketika sedang menjalani latihan Sabtu lalu.
Justeru, ia membuka ruang buat Benzema untuk berada dalam kesebelasan utama meskipun pada awalnya dia hanya dijangka memainkan peranan sebagai pemain simpanan ketika bertemu Australia nanti.
“Bagi saya, ini adalah hadiah terbaik untuk saya beraksi di Piala Dunia. Saya sungguh teruja dan penampilan di Qatar seolah-olah Piala Dunia pertama saya. Sekarang saya berpeluang untuk pecahkan rekod Titi (Thierry Henry).
“Sudah tentu saya rasa sangat gembira kerana masih diberikan peluang untuk berada dalam pasukan ke Piala Dunia. Saya akan galas tanggungjawab ini dengan penuh bangga dan balas kepercayaan jurulatih,” kata Giroud.
Untuk rekod, pemain AC Milan itu hanya memerlukan dua gol sahaja lagi untuk menyamai rekod Henry sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman buat skuad Les Bleus yang meledak 51 gol.
Justeru, Giroud tekad untuk memulakan saingan kali ini dengan langkah kanan dengan menewaskan Australia meskipun sedar Perancis agak tempang selepas kehilangan beberapa pemain utama akibat kecederaan.
“Saya berada dalam keadaan terbaik ketika ini dan saya tidak pernah meletakkan had terhadap kemampuan diri. Fokus saya sekarang adalah untuk bantu pasukan dapatkan tiga mata pada aksi sulung di Qatar,” ujarnya. – AGENSI