fbpx

Piala Dunia: Denmark buang peluang menang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ERIKSEN gagal membantu Denmark melakar kemenangan apabila seri tanpa jaringan dengan Tunisia pada aksi Kumpulan D sebentar tadi. - AFP

AL RAYYAN – Denmark terpaksa berpuas hati apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Tunisia pada aksi pertama Kumpulan D kempen Piala Dunia 2022 di Stadium Education City sebentar tadi.

Skuad bimbingan Kasper Hjulmand itu sepatutnya berpeluang untuk mengutip tiga mata berdasarkan 61 peratus penguasaan permainan sepanjang tempoh 90 minit tersebut.

Sebaliknya, Tunisia dilihat lebih mengancam gawang Denmark dengan beberapa percubaan terutamanya menerusi Issam Jebali yang mensia-siakan situasi satu lawan satu berdepan penjaga gol, Kasper Schmeichel.

Denmark juga gagal memanfaatkan kelebihan situasi bola mati selepas meraih banyak sepakan penjuru dan percuma sepanjang tempoh 45 minit pertama permainan.

Perancang utama Denmark, Christian Eriksen juga berdepan kesukaran untuk menghantar bola kepada rakan sepasukannya ke kawasan kotak penalti Tunisia.

Penyerang gantian, Andreas Cornelius seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila gagal memanfaatkan peluang terbaik Denmark selepas percubaannya sekadar terkena palang gol pada minit ke-70.

Denmark juga hampir-hampir meraih sepakan penalti pada lewat permainan selepas bola hasil percubaan Cornelius didakwa terkena tangan pemain pertahanan Tunisia, Yassine Meriah.

Bagaimanapun, pengadil memutuskan tidak menganugerahkan sepakan penalti selepas beliau melihat semula insiden itu menerusi bantuan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR).

Hasilnya, Denmark terpaksa berpuas hati membuka kempen Piala Dunia kali ini dengan satu mata sekali gus menyukarkan peluang mereka dalam misi memburu kedudukan dua terbaik Kumpulan D.

Ini kerana lawan seterusnya buat Denmark adalah juara bertahan, Perancis di Stadium 974 pada 27 November ini iaitu sehari selepas aksi antara Tunisia menentang Australia di Stadium Al Janoub.

Sebagai rekod, ini adalah perlawanan kedua di Piala Dunia kali ini yang berkesudahan seri selepas Amerika Syarikat terikat 1-1 dengan Wales dalam aksi Kumpulan B awal pagi tadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI