fbpx

NH EV Tech lancar motosikal elektrik, harga bermula RM9,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TailG Ebixon Bold, untuk kegunaan persendirian berharga RM9,000.

KUALA LUMPUR– Ni Hsin EV Tech Sdn. Bhd., iaitu anak syarikat milik penuh Ni Hsin Group Berhad menyasarkan untuk menjual 45,000 unit motosikal elektrik terbaharu keluarannya, TailG dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Pengarah Urusan NH EV Tech, Khoo Chee Kong berkata, sasaran tersebut meliputi jualan di seluruh rantau Asia Pasifik.

Malah jelasnya, syarikat sedang berunding dengan beberapa organisasi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), agensi kerajaan dan peniaga untuk mempromosikan, memasarkan dan mengedarkan motosikal elektrik di rantau ini.

“Model perniagaan kami merangkumi modul jualan langsung dan sewa milik kepada perniagaan serta pengguna,” katanya selepas majlis pelancaran motosikal berkenaan di sini hari ini.

Model tersebut, iaitu TailG Ebixon Bold dan TailG Ebixon Torq, masing-masing dalam kategori kegunaan peribadi dan komersial, dipasang di kemudahan pembuatan syarikat di Seri Kembangan, Selangor.

Proses konseptualisasi, penyelidikan dan pembangunan serta percubaan model baharu itu memakan masa lebih dua tahun dengan kerjasama rapat daripada rakan kongsi, Dongguan Tailing Motor Vehicle Co. Ltd.

TailG Ebixon Torq untuk kegunaan komersial.

Harga TailG Ebixon Bold adalah RM9,000 manakala TailG Ebixon Torq berharga RM14,888.

Sempena pelancarannya, Ni Hsin turut akan menandatangani Memorandum Perjanjian dengan MIMOS Berhad, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd., HAI-O Enterprise Sdn. Bhd. dan PT Winn Pratama Indonesia bagi membantu pemasaran, promosi dan pengedaran motosikal berkenaan.

Pasaran skuter dan motosikal elektrik global dianggarkan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kumulatif (CAGR) 10.2 peratus kepada AS$93.9 bilion (RM429.36 bilion) menjelang 2031. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI