fbpx

Nad Zainal masuk ICU akibat jangkitan kuman paru-paru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELAKON Nad Zainal kini dirawat di wad ICU, Hospital Pakar Ampang Puteri dipercayai akibat jangkitan kuman di paru-paru.

PETALING JAYA – “Nanad sekarang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) namun saya difahamkan keadaannya kini stabil.”

Demikian kata rakan baik pelakon Nad Zainal yang juga merupakan pengurus kepada pengacara, Sherry Alhadad iaitu Aina Liza berhubung keadaan kesihatan aktres itu yang dipercayai menghidap jangkitan kuman pada paru-paru.

Aina ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi memberitahu, Nad, 32, dimasukkan ke wad ICU Hospital Pakar Ampang Puteri berkenaan sejak semalam namun dia sendiri tidak mempunyai perincian lanjut kerana belum berkesempatan melawatnya.

“Nanad masih sedar. Saya dan kawan-kawan lain nak datang melawat tapi dia tidak benarkan kami datang.

“Besar kemungkinan, dia mengalami gejala Long Covid selepas sembuh daripada virus maut tersebut beberapa bulan lalu.

“Kalau nak tahu perincian lanjut tentang keadaannya mungkin boleh hubungi bekas suaminya, Faliq atau rakan rapatnya, Ungku Ismail,” ujar Aina.

Menurutnya lagi, Nad sudah mengadu tidak sedap badan sejak dua hari lalu namun membiarkan keadaan itu berlarutan hinggalah semalam.

“Dia ingatkan boleh sembuh sendiri tapi tunggu punya tunggu, keadaannya semakin memburuk. Sampai tak boleh bangun. Itu yang kena masuk hospital.

“Saya minta orang ramai mendoakan agar Nanad diberikan kesembuhan secepat mungkin. Insya-Allah,” katanya lagi.

Terdahulu, Aina menerusi satu hantaran dalam Instastory menulis: “Assalamualaikum semua. Mohon semua doakan Nad Zainal yang sedang berada dalam ICU. Semoga beliau diberikan kesembuhan sepenuhnya. Amin.” – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI