KUANTAN – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman yang akan dilaksanakan pengundian pada 7 Disember ini menjadi perhatian semua pihak yang melihat sama ada ia masih boleh dipertahankan oleh Barisan Nasional (BN) selepas tsunami Melayu membadai negeri Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Keputusan PRU15 menyaksikan BN menang 16 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) menang 17 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) menang lapan kerusi.
Sudah tentu BN mahu membuktikan bahawa kerusi berkenaan terus milik mereka, manakala PN pula berharap tsunami Melayu yang telah menjatuhkan penguasaan BN di Parlimen Rompin turut ‘berjangkit’ ke di DUN Tioman.
Dengan gelombang tsunami Melayu yang masih hangat, BN dilihat pastinya menghadapi kesukaran bagi mempertahankan kerusi DUN berkenaan dalam kawasan majoriti Melayu itu.
Malah, sekiranya berlaku pula gabungan BN dan PH di Persekutuan diikuti negeri, PN dilihat sekali lagi dapat membangkitkan sentimen Melayu yang membuak-buak bagi menyokong mereka.
Namun, ada yang menyatakan bahawa dengan pengundian pada hari bekerja, ditambah pula ramai pengundi muda yang tidak dapat pulang, sudah tentu ia memberikan sedikit kelebihan kepada BN.
Jadi, cabaran bagi pengundiaan PRU15 DUN Rompin kini kembali seimbang dan kemenangan di situ dilihat mampu menjadi penanda aras sama ada pengundi yang menetap di kawasan itu masih bersama BN atau mereka sudah berubah angin.
Pengundian DUN Tioman ditangguhkan pada 7 Disember selepas calon PN, Md. Yunus Ramli meninggal dunia pada 19 November lalu.
Pada PRU14, BN berjaya mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti 1,280 undi.