fbpx

Guna akal, jangan percaya bulat-bulat – Daiyan Trisha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DAIYAN TRISHA

PETALING JAYA – Risau dengan sentimen perkauman yang semakin berleluasa selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pelakon popular, Daiyan Trisha terpanggil menyuarakan kebimbangan terhadap kecenderungan masyarakat yang berlumba-lumba menyebarkan sesuatu maklumat sehingga merosakkan keharmonian negara.

Daiyan, 30, berkata, setiap perkara yang dimuat naik dalam media sosial seharusnya berbentuk fakta dan bukannya tuduhan atau dakwaan tidak berasas.

“Saya sedar sangat mudah untuk kita dapat mesej berbaur sentimen perkauman dan ekstremis yang sedang berleluasa dalam media sosial.

“Sebelum percaya bulat-bulat, saya nak ingatkan bahawa gunalah otak dan logik akal untuk berfikir.

“Jangan pandang remeh isu sensitif dan terlampau ikut emosi tanpa mendalami situasi sebenar yang terjadi,” katanya dalam satu hantaran InstaStory.

Pelakon drama Projek: Anchor SPM itu juga risau sekiranya isu perkauman yang kini hangat diperkatakan akan mengulangi semula kejadian yang tidak diingini.

“Buka mata dan minda kita, pandang ke depan supaya masalah dapat diatasi dan bukan diulangi.

“Saya risau dan takut untuk keselamatan dan kesejahteraan kita semua,” ujarnya.

Dalam pada itu, dia juga mahu semua pihak melakukan kajian terlebih dahulu mengenai sesuai itu sebelum menyebarkannya dalam media sosial.

Malah sifat empati dan berfikiran rasional perlu ada dalam diri setiap individu terutama golongan muda sekiranya ingin mengulas sesuatu isu sensitif.

“Internet dan buku ada. Buat kajian, baca dan belajar serta cari fakta terlebih dahulu.

“Kalau kita boleh taip komen yang tidak berasas, kita juga boleh menulis dalam ruangan carian Google ataupun bertanya orang yang lebih tahu tentang isu-isu yang sedang heboh.

“Saya alu-alukan pengikut saya untuk konsikan kepada rakan semua tentang pentingnya empati, berakal panjang dan sikap rasional,” katanya lagi.

Selepas berakhir PRU15 pada 19 November lalu, media sosial dibanjiri dengan penyebaran mesej berbaur perkauman terutama mengenai peristiwa berdarah 13 Mei 1969. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI