fbpx

Dua adinda Sultan Kelantan capai persetujuan kes tuntutan saman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Esmael Shah (kanan) dan Weera (tengah) berbincang mengenai tuntutan berhubung kes saman dua adinda Sultan Kelantan dan sebuah syarikat pertanian di luar Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini. - Foto KAMARUL BISMI KAMARUZZAMAN

KOTA BHARU -Dua adinda Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Tengku Amalin A’ishah Putri telah mencapai persetujuan berhubung tuntutan saman terhadap sebuah syarikat pertanian berkenaan bayaran sewa tiga bidang tanah milik keluarga diraja itu di Lojing, Gua Musang seluas 7.4 hektar.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Datuk Mohamad Abazafree Mohd. Abbas merekodkan penghakiman persetujuan yang dicapai kedua-dua pihak tanpa pengakuan terhadap liabiliti apabila defenden turut bersetuju membayar amaun yang dipersetujui kepada plaintif.

Tengku Muhammad Fakhry Petra yang juga Tengku Bendahara Kelantan dan Tengku Amalin A’ishah Puteri sebagai plaintif memfailkan saman dengan menamakan Datuk Heng Poi Hong sebagai defendan pertama dan United SFL Plantation Sdn. Bhd. sebagai defenden kedua.

Saman difailkan menerusi Tetuan Esmael, Nor & Co. manakala defendan diwakili oleh Tetuan Ahmad Deniel, Ruben & Co.

Mengikut penyata tuntutan, defendan menyewa tanah tersebut dengan mengusahakan tanaman sayuran seperti kubis dan tomato sejak tahun 2006.

Berdasarkan persetujuan, penyelesaian telah dicapai dengan defendan bersetuju untuk membayar sejumlah wang termasuk bayaran sewa tertunggak bermula Jun sehingga November tahun ini.

Dalam pada itu, peguam plaintif, Esmael Shah Shahrurin berkata, Tengku Muhammad Fakhry dan Tengku Amalin A’ishah Puteri mahu menyelesaikan kes tersebut secara baik tanpa perbicaraan di mahkamah.

Menurutnya, kedua-dua plaintif prihatin terhadap rakyat dan mahu mengambil pendekatan praktikal untuk menjaga hubungan bersama defenden selain keharmonian antara institusi diraja dan rakyat.

“Tengku Muhammad Fakhry dan Tengku Amalin A’ishah Puteri amat mendokong prinsip raja dan rakyat berpisah tiada. Jadi, kedua-dua belah pihak bersetuju untuk tidak meneruskan tuntutan saman itu, katanya ketika ditemui pemberita di luar Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Sementara itu, peguam defendan, Weera Premananda berkata, beliau bersyukur apabila kes tersebut diselesaikan secara aman.

Menurutnya, penyelesaian kes tersebut sekali gus dapat menjimatkan masa dan segala prosedur lain sekiranya proses perbicaraan dijalankan.

“Hubungan anak guam saya yang juga penyewa tiga bidang tanah itu dengan kedua-dua adinda Sultan Kelantan sudah lama. Apabila kes ini dapat diselesaikan, ia sekali gus dapat meneruskan hubungan baik antara mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI