KUALA LUMPUR – Semua 30 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) membuat keputusan dan menyuarakan solidariti untuk tidak menandatangani sebarang surat akuan berkanun (SD).
Perkara tersebut didedahkan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang diadakan di Menara Dato Onn, hari ini.
“Tiada surat akuan berkanun ditandatangani. Keputusan telah dibuat dan semua 30 Ahli Parlimen telah menyuarakan solidariti dan membuat keputusan.
“Akan ada pengumuman kemudian dan akan tahu dari situ,” katanya sebelum berlalu meninggalkan Menara Dato Onn, hari ini.
Sementara itu, Ketua Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin turut mengesahkan tiada sebarang SD ditandatangani dalam mesyuarat tersebut.
“We decide nothing. Whatever we decide must be for one team (Kami tidak memutuskan apa-apa. Apa sahaja yang kami putuskan pastinya untuk satu pasukan) ,” katanya. – KOSMO! ONLINE