GEORGE TOWN – Sebanyak 209 kes penderaan melibatkan golongan kanak-kanak direkodkan di Pulau Pinang dari Januari sehingga September lalu.
Pengerusi Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng berkata, jumlah tersebut adalah membabitkan penderaan seksual sebanyak 91 kes, pengabaian (67), fizikal (42) dan emosi (sembilan).
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa memberikan langkah segera dan sokongan kepada mangsa mengikut prosedur operasi standard (SOP).
“Antara SOP adalah JKM menyelamatkan kanak-kanak dalam tempoh 10 jam selepas aduan atau maklumat berkaitan penderaan diterima,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Chong Eng (DAP-Padang Lalang) menjawab soalan A. Kumaresan (PKR-Batu Uban) mengenai jumlah kes penderaan kanak-kanak dalam tahun ini.
Mengulas lanjut Chong Eng berkata, JKM juga akan membawa mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya jika ada keperluan dan pengesahan Pegawai Perubatan berkaitan penderaan.
“Perintah sementara di bawah Seksyen 19, Akta Kanak-Kanak 2001 dan perintah tetap di bawah Seksyen 30 Akta Kanak-Kanak 2001 akan diperoleh dari mahkamah untuk menempatkan kanak-kanak di bawah jagaan orang yang layak dan sesuai atau ditempatkan di tempat selamat.
“Khidmat nasihat dan intervensi kaunseling juga akan diberikan kepada mangsa dera oleh JKM,” katanya.
Tambahnya, pasukan perlindungan kanak-kanak yang telah dilantik di bawah Seksyen 7, Akta Kanak-Kanak 2001 juga memainkan peranan dalam melaksanakan program advokasi berkaitan penderaan kanak-kanak di peringkat komuniti setempat.
Dalam pada itu, katanya, antara faktor dan punca berlakunya penderaan kanak-kanak adalah seperti masalah kewangan, kecuaian ibu bapa atau pengasuh, pendera terlibat dengan jenayah, kanak-kanak mengikut teman lelaki dan lain-lain. – KOSMO! ONLINE