fbpx

Ukraine diminta pertimbangkan rundingan dengan Russia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UNIT kereta kebal tentera Ukraine bergerak menuju ke bandar Kherson pada 18 November lalu. -- AFP

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) memberi tekanan ke atas Ukraine supaya berun­ding dengan Moscow, manakala seorang pegawai kanan Pentagon berkata, sukar untuk tentera Kiev merampas semula semua wilayah Ukraine yang ditawan Russia dalam perang itu.

Pengerusi Ketua-Ketua Staf Bersama AS, Jeneral Mark Milley memberitahu Rabu lepas bahawa sokongan AS dan Barat tidak pudar tetapi menambah, kejayaan Kiev menangkis pencerobohan Russia memberikannya kedudukan lebih baik untuk memulakan rundingan.

Dalam ucapannya minggu lalu, Milley menyamakan situasi di Ukraine dengan Perang Dunia Pertama apabila pihak yang terlibat menemui jalan buntu selepas beberapa bulan tetapi tetap berperang selama tiga tahun lagi, mengakibatkan berjuta-juta nyawa melayang.

Katanya, tentera Russia me­ngukuhkan kedudukan di sekitar 20 peratus wilayah Ukraine dengan barisan hadapan dari Kharkiv hingga ke Kherson kini semakin stabil.

“Kemenangan tentera Ukraine ditakrifkan sebagai mengusir tentera Russia dari seluruh Ukraine termasuk Semenanjung Crimea, namun kemungkinan itu berlaku dalam masa terdekat adalah kecil.

“Mungkin ada jalan penyelesaian politik untuk pengunduran Russia. Itu mungkin berlaku.

“Anda mahu berunding ketika berada pada kedudukan yang kuat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, jurucakap keselamatan negara White House, John Kirby me­negaskan pada Jumaat lepas bahawa AS bukan cuba memaksa Kiev berunding atau menyerahkan wilayah Ukraine.

“Hanya Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy boleh memutuskan sekiranya beliau bersetuju dan bila beliau akan berunding serta ciri rundingan tersebut. Tiada sesiapa dari AS memaksa atau menyenggol beliau untuk ke meja (rundingan),” kata Kirby.

Namun, awal bulan ini, Zelenskyy menggugurkan prasyarat beliau bahawa Presiden Vladimir Putin perlu berundur sebelum beliau bersetuju untuk berunding. Menurut akhbar Kyiv Post, perubahan itu berlaku susulan tekanan oleh White House.

Pada Isnin lepas, Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), William Burns berbincang dengan ketua perisikan SVR, Sergei Naryshkin di Ankara. Ia merupakan perjumpaan empat mata tertinggi antara pegawai AS dan Russia sejak perang Ukraine bermula pada Februari lalu.

Butiran pertemuan mereka dirahsiakan tetapi Burns berlepas ke Kiev untuk bertemu Zelenskyy sejurus selepas itu.

Dalam pada itu, sokongan AS kepada Ukraine masih kuat. Pada minggu ini White House meminta dana AS$38 bilion (RM173 billion) lagi daripada Kongres untuk membantu Kiev.

Namun, White House juga tidak menyangkal pendapat Milley. Beliau berkata di New York ming­gu lalu bahawa hampir 100,000 askar Ukraine sama ada telah terbunuh atau cedera di me­dan perang di samping sekitar 40,000 penduduk awam yang turut menjadi mangsa.

Menurutnya, bilangan kematian dan kecederaan itu akan berganda sekiranya Kiev berdegil untuk berperang sehingga berjaya merampas kembali semua wilayah yang diduduki Russia seperti sempadan sebelum 2014.

“Sejuta orang terbunuh sepanjang Ogos hingga Disember 1914 iaitu bulan-bulan pertama Perang Dunia Pertama. Namun, tiada pihak mahu berunding dan perkembangan itu menyaksikan korban meningkat kepada 20 juta orang menjelang 1918.

“Justeru, sekiranya wujud peluang untuk berunding di mana keamanan boleh dicapai, gunakan peluang itu,” kata Milley.

Kenyataan Milley meningkatkan kebimbangan bahawa AS mahu mencantas matlamat Kiev untuk menawan semula semua tanah Ukraine yang diduduki Russia termasuk Crimea serta Donbas. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI