BEIJING – Seorang wanita di China tular kerana mampu membeli rumah selepas berhenti bekerja di pejabat, lapor portal berita Wolipop hari ini.
Liu Xiaoli dari Henan merupakan graduan universiti yang pernah bekerja sebagai pekerja pentadbiran di pejabat. Kerjaya itu bagaimanapun tidak menghasilkan pendapatan lumayan buat dirinya.
Ibu kepada dua anak itu akhirnya memutuskan untuk menukar pekerjaan sebagai tukang cuci.
“Anak saya mula bersekolah dan ibu bapa saya semakin tua. Saya memerlukan lebih banyak wang.
“Selepas menjadi tukang cuci, saya takut untuk memberitahu ibu bapa saya dan tidak mahu mereka dimalukan,” kata Liu dalam temu bual bersama media tempatan, Ding Duan Xin Wen.
Selepas setahun menyembunyikan pekerjaan itu, Liu akhirnya mendedahkan kebenaran kepada ibu bapanya. Mereka ternyata menerima pilihan Liu.
Liu semakin bersemangat apabila mendapat sokongan mereka. Setelah bekerja sebagai tukang cuci profesional selama dua tahun, keadaan kewangannya bertambah baik.
Dia kini berjaya membeli dua rumah dan kereta hasil kerja kerasnya menawarkan khidmat pembersihan dari rumah ke rumah.
Kisah wanita itu menarik perhatian ramai pengguna di media sosial. Video memaparkan aktivitinya membersihkan rumah mendapat lima juta tontonan. – Agensi