KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan amaran terhadap pengguna media sosial ekoran banyak kandungan menyentuh sentimen perkauman dan keagamaan serta menghina institusi diraja sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlangsung.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani berkata, PDRM memberi peringatan dan penegasan kepada pengguna media sosial agar mengekang diri daripada menyalahgunakan platform tersebut.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang menyebarkan kandungan bersifat provokasi yang boleh mengakibatkan kegusaran awam.
“Mereka yang menyalahgunakan platform tersebut boleh diambil tindakan tegas di bawah Akta Suruhanjaya dan Komunikasi Multimedia (SKMM) 1998, Akta Hasutan serta Kanun Keseksaan,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.
Tegas Acryl, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan situasi mengancam keselamatan dan ketenteraman awam. -KOSMO! ONLINE.