PETALING JAYA – Sering membawakan tugasan lagu yang sukar ditambah dengan semangatnya untuk melakukan yang terbaik dalam Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) mengakibatkan penyanyi Dina Nadzir berdepan risiko kerosakan kekal pada pita suaranya.
Kata Dina yang tersingkir pada minggu separuh akhir malam tadi, selama 10 minggu bertanding, semangatnya untuk terus berjuang dalam GV9 tidak pernah luntur.
Keadaan itu sekali gus menyebabkan dia mengalami kecederaan pada pita suara yang sudah berlarutan agak lama.
“Saya bertarung sedaya mungkin sehingga terdapat kecederaan pada pita suara. Lagipun, lagu-lagu yang disampaikan bukanlah lagu yang senang.
“Ada video yang menunjukkan pita suara saya sudah rabak. Kalau orang lain, mesti sudah lama tarik diri dalam pertandingan ini,” katanya dalam sidang akhbar usai konsert GV9 malam tadi.
Tambah Dina, dia mendapati pita suaranya mengalami masalah serius selepas tiga minggu dia terkena jangkitan Covid-19 sewaktu minggu kedua GV9 sehingga menyedari berlaku perubahan pada suaranya.
“Perkara yang saya buat sebelum ini jadi senang tiba-tiba saya tidak boleh lakukannya. Saya fikir itu kesan Covid-19.
“Minggu keempat saya berjumpa doktor dan nampak bintik pada pita suara. Seminggu kemudian, bintik itu menjadi semakin besar,” katanya.
Biarpun begitu, Dina, 37, tetap mengambil risiko terus berjuang dalam GV9 untuk menghidupkan kembali kariernya dalam bidang nyanyian.
“Saya tidak mahu sia-siakan peluang berada dalam GV9 kerana sudah lama tinggalkan dan mahu kembali semula dalam bidang muzik.
“Pada masa sama, apabila mendapat peluang untuk beraksi di pentas besar sebegini, saya tidak akan mensia-siakan waktu yang ada.
“Dengan kerjasama dari pihak radio, mereka juga pertimbangkan masa cuti saya untuk ke udara. Saya sedar dengan risiko yang diambil tetapi habis pertandingan ini baru saya fikir semula,” ujarnya.
Susulan itu, pelantun lagu Wanita Besi itu diminta untuk bercuti selama sebulan oleh Syafinaz selepas menamatkan perjuangan dalam GV9.
Jika tidak, dia harus berdepan dengan situasi tidak boleh bernyanyi untuk selama-lamanya.
Terdahulu, Dina bersama-sama Fuad Rahman merupakan peserta yang tersingkir pada pentas separuh akhir malam tadi.
Baki enam peserta lain iaitu Jaclyn Victor, Shila Amzah, Tomok, Bob Yusof dan V.E akan berentap untuk merebut gelaran juara GV9 pada minggu depan. -KOSMO! ONLINE