DOHA – Bek kanan England, Trent Alexander-Arnold mengakui dia belum berada pada prestasi terbaik menjelang aksi sulung saingan Piala Dunia Qatar 2022 menentang Iran di Stadium Antarabangsa Khalifa malam ini.
Pemain Liverpool itu dikatakan mendapat peluang untuk berada dalam skuad The Three Lions selepas bintang Chelsea, Reece James diketepikan kerana perlu berehat panjang akibat kecederaan.
Justeru, Alexander-Arnold tekad untuk membalas kepercayaan Ketua Jurulatih England, Gareth Southgate yang mengambil keputusan menyenaraikannya dalam skuad ke saingan Piala Dunia kali ini.
“Secara jujur, saingan musim ini bukanlah permainan terbaik yang saya tunjukkan sepanjang karier. Bagaimanapun, ia tidaklah persembahan yang buruk, mungkin prestasi berada di tengah-tengah.
“Memang saya tidak berpuas hati dengan persembahan saya setakat ini, jadi saya mahu ia diperbaiki pada saingan Piala Dunia. Saya akan cuba tampilkan aksi terbaik jika diturunkan bertemu Iran nanti,” katanya.
Meskipun dilihat sebagai pilihan untuk mengisi kesebelasan utama England malam ini, namun dia perlu berdepan tentangan sengit daripada pemain Newcastle United, Kieran Trippier yang dianggap lebih menyerlah.
Selain Trippier, pemain Arsenal, Ben White turut mengintai peluang untuk membarisi kesebelasan utama England, lebih-lebih lagi dia dikatakan sebagai tunjang yang membantu The Gunners menerajui saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
The Three Lions pastinya memburu tiga mata pada aksi pembuka tirai Kumpulan B itu bagi mendapatkan tonik terbaik untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati, seterusnya memperbaiki pencapaian edisi 2018 yang menyaksikan mereka muncul pasukan keempat terbaik.
– AGENSI