WASHINGTON – Seorang lelaki di negeri Michigan, Amerika Syarikat (AS) menempah perkhidmatan sewa kereta Uber untuk merompak sebuah bank kerana lesen memandunya digantung, lapor akhbar Daily Star semalam.
Jason Christmas, 42, enggan melanggar undang-undang jalan raya ketika merompak Bank Huntington di bandar Southfield pada minggu lalu.
Dia meminta pemandu Uber membawanya ke bank itu dan menunggu sementara dia menyamun.
Semasa keluar dari kereta Uber, Christmas memakai topeng muka dan memasuki bank untuk merompak. Dia meminta wang sambil mengacukan senjata sebelum keluar dan menaiki teksi tersebut untuk membawanya pulang.
Penggera dibunyikan sekitar pukul 5 petang (waktu tempatan) pada Rabu lalu.
Polis yang tiba di lokasi kejadian, memeriksa sistem televisyen litar tertutup (CCTV) untuk mengenal pasti nombor plat teksi itu sebelum pemandunya disoal siasat. Mereka berjaya mendapatkan alamat rumah suspek.
“Ini adalah cara luar biasa untuk melakukan rompakan bersenjata di bandar ini,” kata Ketua Polis Southfield, Elvin Barren kepada saluran televisyen Fox 2 News.
Menerusi video kamera badan yang dikongsi oleh Polis Southfield, Christmas digari dan direbahkan di lantai pangsapurinya.
“Dia memakai pakaian sama seperti semasa rompakan,” kata Barren.
Christmas didakwa dengan jenayah rompakan bank dan ditahan sementara menunggu pembayaran bon ikat jamin AS$500,000 (RM2.23 juta). – Agensi