LUMUT – Beberapa penduduk di Kampung Padang Tembak di sini trauma apabila kawasan kediaman mereka sering mengalami banjir kilat, terutamanya ketika musim hujan sejak 20 tahun lalu.
Menurut mereka, pendudukan biasanya hanya ada masa lima minit untuk menyelamatkan barang-barang sebelum rumah dinaiki air.
Menurut seorang penduduk, Mastura Bariah Mat Rawi, 32, musim tengkujuh yang bermula September hingga penghujung Disember menyebabkan dia dan jiran-jiran berdepan masalah banjir kilat dua hingga tiga kali seminggu.
Katanya, ini kerana kediaman mereka di Lorong Mat Sati di situ terletak berhampiran sebatang parit.
“Bukan itu sahaja, air dari Bukit Ungku Busu yang terletak berdekatan kampung turut memenuhi parit itu apabila mengalir ke kawasan perumahan berdekatan, menyebabkan kuantiti air tidak dapat ditampung sehingga menyebabkan berlakunya limpahan.
“Rumah saya terletak di kawasan rendah, menyebabkan air dari kawasan tinggi mengalir ke sekitar kediaman dan bercampur dengan limpahan air parit, sekali gus menjadi antara punca banjir kilat berlaku,” katanya di sini baru-baru ini.
Menurutnya, banjir kilat yang sering terjadi, menyebabkan barangan elektrik seperti peti ais di rumah mereka diletakkan di tempat tinggi.
Sementara jirannya, Nazatul Simah Jahaya, 40, berkata, banjir kilat menyebabkan kediaman mereka sering dipenuhi lintah.
“Selain lintah, kami juga bimbang sekiranya ular memasuki kediaman jika berlaku banjir.
“Memang penat berhadapan masalah ini. Itu belum termasuk baju yang musnah akibat bencana tersebut.
“Bukannya tidak pernah terdetik di fikiran untuk berpindah, namun keadaan tidak mengizinkan. Ia melibatkan kos tinggi dan saya hanya memperoleh pendapatan sebagai sebagai pembantu kantin,” katanya.
Bagi membantu meringankan penduduk terlibat, seramai 150 pegawai, jurulatih dan pelatih pusat latihan KD Pelandok dari Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut menyantuni keluarga mangsa banjir tersebut.
Ketua Fakulti Kejuruteraan KD Pelandok, Komander Ir. Ng Keng Lip berkata, pada pertemuan itu, mereka menyerahkan sumbangan tikar dan tilam.
“Kami turut mengadakan gotong-royong mencuci parit dan membuang sampah sarap di dalamnya. Kami juga membina benteng menggunakan tayar di dinding parit itu bagi membantu mengurangkan hakisan.
“Kawasan rumah juga kita cuci supaya pengaliran air lancar, selain membantu membasmi nyamuk,” katanya.