KIEV – Penduduk tempatan Ukraine yang sudah lama menderita di bandar Kherson dan baru mengecapi kebebasan selepas tentera Russia berundur, terpaksa minum air Sungai Dnipro untuk terus hidup, lapor akhbar The Sun semalam.
Mereka memberanikan diri meredah bedilan peluru berpandu dan mortar untuk mengisi air di laluan yang menandakan sempadan rantau yang dikuasai tentera Ukraine.
Bekalan air gagal disalurkan pada 9 November lalu apabila stesen pam menjadi sasaran bedilan Russia.
Dua hari kemudian, tentera Moscow meninggalkan bandar itu selepas meletupkan menara televisyen dan memusnahkan Jambatan Antonovsky untuk memperlahankan kemaraan tentera Ukraine.
Berpuluh-puluh ribu askar berundur ke tebing timur Sungai Dnipro selepas Menteri Pertahanan Sergei Shoigu mengarahkan pengunduran tentera Russia. Ia berikutan komandernya memaklumkan bahawa mereka tidak lagi dapat meneruskan bekalan kepada pasukan tentera berkenaan.
Penduduk Kherson, Larisa, 59, dan suaminya, Oleg, 63, adalah antara yang pergi ke Sungai Dnipro untuk mendapatkan air.
Larisa menegaskan bahawa kesusahan yang mereka hadapi adalah harga kecil yang perlu dibayar untuk mendapatkan kebebasan.
“Perkara paling teruk apabila tentera Russia berada di sini ialah kami tidak mempunyai perasaan bebas. Sukar bagi kami untuk mempercayai bahawa dalam dunia moden, satu tempat boleh ditakluki oleh pihak yang lain.
“Kami cuba untuk tidak memprovokasi tentera. Kami keluar bersama dan mengelak jalan utama,” kata Larisa.
Oleg berkata: “Sepanjang masa kami tertekan. Askar Russia sentiasa mencari, memeriksa dan merompak.”
Turut berada di sungai itu ialah seorang anggota paramedik, Lena yang mengambil kira-kira 70 liter air sehari untuk kakitangan di stesen ambulans bagi tujuan memasak, mencuci dan mengepam tandas. – Agensi