KEMAMPUAN pemain menyerap tekanan berdepan ribuan penyokong lawan bakal penentu hala tuju Selangor pada aksi menentang Terengganu (TFC) pada aksi separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini.
Menyedari gelanggang lawan akan dipenuhi penyokong lawan, pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe menuntut kesabaran daripada anak-anak buahnya dan tidak terlalu terikut-ikut dengan suasana di stadium.
“Kami tidak boleh selamanya bertahan dan kami perlu bersabar apabila berkunjung ke tempat lawan. Bagi saya, ia bukan tugas mudah berkunjung ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
“Jadi untuk pergi lebih jauh, saya harap pemain mampu serap tekanan. Kami kena ambil situasi di stadium itu sebagai motivasi untuk harungi perlawanan yang sukar,” katanya.
Red Giants dilihat makin hampir untuk mengesahkan pentas final buat kali pertama dalam tempoh enam tahun selepas raih kemenangan 3-1 pada aksi pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Rabu lalu.
Sementara itu, tonggak tengah Selangor, Brendan Gan juga hampir senada dengan Cheng Hoe dan merasakan keyakinan pasukan bakal menjadi elemen terpenting untuk cuba atasi Terengganu.
“Selepas mengharungi musim tidak menentu, saya rasa kami sudah pamer peningkatan dan apa yang saya fikirkan sekarang adalah soal kepercayaan terhadap pasukan,” kata Brendan.