KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan ke-43 memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhasrat untuk menutup syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), berikutan beban hutang ditanggungnya.
Pengerusi kumpulan Media The Edge, Datuk Tong Kooi Ong ketika disoal balas peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, Najib memaklumkan perkara itu kepadanya selepas beliau menjelaskan mengenai skandal yang menyelubungi syarikat berkenaan.
Menurut Kooi Ong semasa pertemuan dikediaman Najib Mac 2015, beliau mencadangkan supaya ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low disiasat dan didakwa kerana ‘mencuri’ AS$700 juta milik 1MDB, tetapi diminta beredar daripada kediaman berkenaan.
Kooi Ong berkata, ini kerana dia secara jelas telah menunjukkan bukti e-mel bahawa wang terbabit dilencongkan kepada syarikat Good Star Ltd milik Jho Low dan syarikat PetroSaudi Ltd (PSI) yang menjalinkan usaha sama dengan 1MDB sebenarnya bukan syarikat dimiliki kerajaan Arab Saudi.
Bagaimanapun Najib hanya mendiamkan diri.
“Selepas saya memberikan penjelasan itu, (skandal 1MDB) Najib beritahu dia akan menutup 1MDB… saya beritahu, Jho Low mesti dipertanggungjawabkan dan disiasat serta didakwa,” katanya.
Najib, 69 yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung lagi petang ini. – KOSMO! ONLINE