COLORADO SPRINGS – Lelaki bersenjata yang melepaskan tembakan di dalam sebuah kelab malam lesbian, gay, bikseksual, transgender dan pelik (LGBTQ) dan membunuh sekurang-kurangnya lima orang, dihentikan oleh dua orang di premis tersebut, kata polis dalam satu sidang akhbar semalam.
Polis mengenal pasti suspek sebagai Anderson Lee Aldrich, 22, dan berkata, dia menggunakan selaras raifal. Kejadian berlaku ketika pengunjung menyambut Hari Peringatan Transgender bagi memperingati individu LGBTQ yang menjadi sasaran serangan ganas.
Menurut polis, seramai 18 orang cedera dalam insiden tersebut, sejurus sebelum waktu tengah malam sambil menambah, sebilangan mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal.
Kejadian tembakan itu adalah yang terbaharu dalam sejarah serangan ke atas premis LGBTQ di Amerika Syarikat. Serangan paling berdarah meragut 49 nyawa di sebuah kelab malam di Orlando, Florida dalam tahun 2016.
Suspek di Colorado Springs itu memasuki Club Q dan segera melepaskan tembakan ke arah pengunjung, kata ketua polis tempatan, Adrian Vasquez.
“Sekurang-kurangnya dua orang ‘berani’ di dalam kelab itu berdepan dan bertarung dengan suspek. Mereka berjaya menghentikan dia daripada berterusan membunuh dan mendatangkan kecederaan kepada orang lain,” katanya kepada pemberita.
Seorang lelaki tempatan, Joshua Thurman berada di dalam kelab berkenaan ketika kejadian.
“Situasi sungguh menakutkan. Mayat bergelimpangan di atas lantai. Kaca pecah berselerakan. Pengunjung menangis.
“Kelab malam ini sepatutnya menjadi tempat selamat kami. Kemana lagi kami harus pergi?,” kata Thurman.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Joe Biden mengeluarkan kenyataan mengutuk serangan itu dan menyatakan, motif kejadian masih belum jelas. Bagaimanapun, Biden mengecam keganasan terhadap komuniti LGBTQ terutamanya ke atas mak nyah bukan kulit putih. – AFP