SEREMBAN – Seorang pegawai bank dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan tiga kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan hidup atas wang hasil daripada persundalan isterinya, Oktober lalu.
Hakim Rushan Lutfi Mohamed membuat keputusan itu selepas tertuduh seorang lelaki berusia 35 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 372A(1) Kanun Keseksaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah hidup sepenuhnya atau sebahagiannya daripada hasil persundalan isterinya yang berusia 35 tahun.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah hotel di Kuala Pilah pada 30 Oktober lalu.
Berdasarkan fakta kes, hasil siasatan mendapati tertuduh telah memaksa mangsa bagi tujuan eksploitasi seks sejak bulan Julai 2022 bagi menyelesaikan bayaran hutang yang ditanggung oleh tertuduh.
Siasatan juga mendapati tertuduh telah mengenakan bayaran RM1,000 bagi satu jam terhadap pelanggan yang melanggan mangsa untuk tujuan eksploitasi seks.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman seringan-ringannya atas alasan sudah bertaubat dan mahu disatukan semula dengan isterinya.
“Saya berasa malu, takut terutama dengan Allah SWT, kepada keluarga saya dan isteri saya sudah bertaubat dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sekali lagi.
“Saya perlu menanggung isteri yang tidak bekerja, tanggung ibu dan keluarga besar isteri di Sabah. Saya mohon dipertemu serta disatukan semula dengan isteri supaya dapat melindungi dan membimbingnya ke jalan Allah,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Atiqah Abu Hassan pula memaklumkan kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius dan tidak bermoral dengan mengambil kira pekerjaan itu dilakukan isterinya sendiri.
Sementara itu di kamar mahkamah berasingan, Hakim Datin Surita Budin menolak pengakuan bersalah tertuduh sama yang didakwa atas pertuduhan memperdagangkan isterinya bagi tujuan eksploitasi seks.
Mahkamah menolak pengakuan bersalah tertuduh kerana dianggap membuat pengakuan bersyarat di atas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Mahkamah kemudian menetapkan kes disebut semula 30 November depan. – KOSMO! ONLINE