PETALING JAYA – Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong meluahkan kekecewaan berkenaan keputusan Barisan Nasional (BN) bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk Kerajaan Persekutuan dan Negeri (Perak) tanpa merujuk Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN).
Naib Pengerusi BN itu berkata, segala keputusan berhubung gabungan BN dan PH tersebut tidak pernah dirujuk kepada pimpinan tertinggi parti itu terlebih dahulu.
“Saya sebagai Presiden MCA dan Naib Pengerusi BN tidak pernah dirujuk atau dimaklumkan langsung.
“Entah dari mana keputusan itu dicapai, malah selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), mesyuarat Dewan Tertinggi BN masih belum lagi diadakan setakat waktu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, hampir semua 30 Ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN) dilaporkan berkumpul di Hotel Seri Pacific.
Antara yang hadir, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Manakala Ahli Parlimen lain yang turut kelihatan termasuk Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan dan juga Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Sebelum itu, Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agong PKR, Datuk Seri Saifudin Nasution juga hadir di lokasi sama. – KOSMO! ONLINE