PETALING JAYA – Hampir 10 juta anak perantau yang sebelum ini pulang untuk mengundi di kampung halaman masing-masing telah pulang ke ibu kota sejak petang semalam berikutan tiada pengumuman cuti umum hari ini.
Sungguh pun begitu disebabkan kesesakan teruk di lebuh raya utama semalam, ramai yang mengambil keputusan cuti kecemasan dan merehatkan anak ke sekolah hari ini.
Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati majoriti besar anak perantau telah terperangkap dalam kesesakan lalu lintas lebih 13 jam semalam.
Ada sesetengah mereka sampai ke ibu kota awal pagi tadi dan sudah penat untuk bekerja hari ini.
“Jalan sesak teruk, saya dan suami terpaksa tunda tarikh bertolak ke KL dan terpaksa ambil cuti kecemasan sebab tidak sanggup bersesak dalam trafik yang tidak bergerak,” tulis @RohaniStafa di hantaran Facebooknya.
“Jalan sesak dari selepas persimpangan Lanchang lagi. Kalian patah balik patah balik! Patah balik! Tak payah balik KL dulu, dengar nasihat aku,” ciap @SalmanFaris0 di akaun Twitternya.
Dalam pada itu, terdapat juga perantau yang tidak dapat menghantar anak ke sekolah pada hari ini kerana tidak sempat untuk bersiap dan sampai ke rumah dek terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.
“Sudah macam hari raya dah, dari Kelantan ke KL ambil masa 15 jam untuk sampai, anak tidak pergi sekolah hari ini sebab tidak sempat hendak siapkan apapun, baju tidak bergosok, bekal tidak sempat masak, suami ambil ‘emergency leave’ hari ini,” luah @HasnaaMus di hantaran Facebooknya.
“Sudahnya, tidak sempat nak hantar anak-anak pergi sekolah, ayahnya tidak larat, emaknya pula tidak sempat nak siapkan apa-apa, tidak mengapalah, 5 tahun sekali je merasa macam ini, paling tidak pun hari raya,” ciap @MissraraWahab. – KOSMO! ONLINE