BINTANG siri televisyen popular, Mighty Morphin Power Rangers, Jason David Frank, 49, meninggal dunia difahamkan akibat bunuh diri.
Berita mendukacitakan tersebut dimaklumkan ejen bakat atau pengurusnya kepada portal, Geek Ireland sekali gus mengesahkan khabar angin yang berterbangan dalam kalangan peminat.
Pengurusnya memberitahu bahawa berita kematian pelakon tersebut sememangnya sahih dan benar.
Sementara itu, jurulatih dan rakan rapat Jason iaitu Mike Bronzoulis menerusi Facebook berkata, dia sangat terkejut dengan berita tersebut.
“Semoga bersemadi dengan aman sahabatku (Jason David Frank). Saya masih terkejut dengan berita ini. Dia ada menghubungi saya dan tinggal pesanan namun saya menghubunginya kembali sangat lambat.
“Mendiang merupakan sahabat baik saya dan saya akan merinduinya. Doa dan simpati saya buat isterinya (Tammy) dan anak-anak. Saya juga memanjatkan doa semoga Tuhan memberikan kesenangan buat atas waktu sukar ini,” coret Mike.
Rakan industri, BossLogic juga mengesahkan kematian pelakon tersebut dengan menciap menerusi Twitter: “Bersemadilah dengan aman Jason, saya baru bercakap dengan anda beberapa minggu lalu.
“Saya masih tak boleh mempercayai berita ini. Saya pernah bekerja dengan mendiang untuk beberapa projek dan kami banyak persamaan.”
Jason yang juga figura seni mempertahankan diri itu sangat dikenali generasi 1990-an sebagai Power Ranger hijau dan pernah melakonkan karakter Power Ranger putih.
Punca kematian masih dalam siasatan namun banyak laporan media antarabangsa menyatakan bahawa mendiang meninggal dunia disebabkan bunuh diri. – KOSMO! ONLINE