TERENGGANU FC (TFC) tidak akan mengibarkan bendera putih menjelang separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Selangor di laman sendiri malam ini.
Pengendali TFC, Mohd. Nafuzi Zain berkata, beliau optimis skuad kendaliannya mampu bangkit dalam 90 minit meskipun ketinggalan 1-3 menerusi agregat.
Menurutnya, kehadiran puluhan ribu penyokong sendiri di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin diharap menjadi tonik terbaik untuk skuad Sang Penyu meneruskan kemaraan ke final.
“Peluang masih terbuka dan TFC akan bangkit. Saya pasti pemain-pemain juga tidak mahu menyerah kalah.
“Masih ada 90 minit dan kami tahu apa yang perlu dilakukan. TFC bertekad untuk meningkatkan prestasi malam esok (ini),” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
Mohd. Nafuzi berkata, misi skuad Sang Penyu ialah menghasilkan gol awal bagi membangkitkan semangat selain berdisiplin ketika bertahan.
Nada keyakinan sama turut dikongsi ketua pasukan, Kipre Tchetche yang mahu rakan-rakan sepasukannya mengulangi pencapaian melangkah ke final Piala Malaysia empat tahun lalu.
Jelas penyerang kelahiran Ivory Coast itu, tiada misi mustahil untuk TFC memburu tiga gol, sekali gus mengatasi kelebihan agregat dimiliki juara Piala Malaysia 33 kali itu.
Menurut Tchetche, TFC perlu menggandakan tekanan dan serangan dengan skuad Gergasi Merah dijangka mengamalkan corak permainan bertahan serta serangan balas.