fbpx

Tulus ‘turun’ Malaysia Januari 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELEPAS lima tahun, Tulus tidak sabar untuk kembali menghiburkan peminatnya di sini menerusi konsert pada Januari tahun depan.

PETALING JAYA – Bagai menunggu 1,000 tahun lamanya, kerinduan peminat tempatan terhadap penyanyi Indonesia, Tulus bakal terubat menerusi persembahan mega Fabulous Friday Presents Tulus yang akan diadakan pada 6 Januari 2023.

Memilih Dewan Plenari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), penerima pelbagai anugerah itu juga mengakui tidak sabar untuk kembali ke Malaysia melampiaskan kerinduan.

“Lama betul tidak bertemu dengan peminat di Kuala Lumpur. Semoga rindu ini menghilang ketika kita bertemu di Dewan Plenari kelak.

“Kita bakal menyanyi bersama-sama,” kongsinya dengan penuh nada teruja.

Pemilik nama sebenar Muhammad Tulus, 35, itu pernah dua kali hadir ke Malaysia menerusi Konsert Tulus Live pada 2018 di Istana Budaya disusuli Konsert Jelajah Sewindu di KLCC, setahun kemudian.

Shiraz Projects yang turut membawa Tulus dalam persembahan mega sebelum ini memaklumkan mengambil tanggungjawab membawa masuk konsert terbaik seperti ini sebagai penanda aras dan demi kepuasan ramai.

Pengarah Urusan Shiraz Project, Shirazdeen Karim berkata, kemenangan Tulus di Anugerah Muzik Indonesia (AMI) 2022 sebagai bukti karya dihasilkannya dalam album Manusia bukan hanya menjadi halwa telinga yang menusuk jiwa, bahkan memenuhi kualiti sebagai dendangan bermutu.

“Manusia yang diangkat sebagai Album Terbaik AMI 2022 selain membolot enam lagi trofi utama lain antara seleksi yang bakal dipersembahkan pada malam konsert.

“Lagu daripada buah tangan terdahulu tidak akan dilupakan kerana selepas kedatangan pertama di Kuala Lumpur empat tahun lalu, setiap dendangannya pasti menggamit memori.

“Sudah pasti kami di Shiraz Projects merasa terpanggil dan bertanggungjawab untuk melunaskan kerinduan peminat Tulus selain berkongsi pencapaiannya,” katanya.

Pada masa sama, Shirazdeem berharap konsert berkenaan turut membuka ruang kepada orang ramai serta mereka yang berada dalam industri mempelajari mengenai produksi dan karya baik daripada rakan seperjuangan seberang.

Sementara itu, tiket menyaksikan persembahan penyanyi yang popular dengan lagu Monokrom dan Hati-Hati Di Jalan itu boleh didapati menerusi laman www.myticket.asia.

Kaunter jualan maya yang dibuka sejak 10 November lalu menawarkan harga RM950 (VIP), RM550 (Diamond), RM450 (Platinum), RM350 (Gold) dan RM250 (Silver). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI