KUALA TERENGGANU – Sebanyak tujuh kertas siasatan berhubung kesalahan berkaitan pilihan raya dibuka di Terengganu sepanjang tempoh dua minggu kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berakhir semalam.
Ketua Urusetia PRU15 Kontijen Terengganu, Superintendan Mohd. Aluwi Husain berkata,
enam kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 manakala satu lagi dibawah Seksyen 26(1)(g) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Laporan polis berhubung tersebut diterima dari daerah ini iaitu tiga kes dan masing-masing satu di Besut, Kemaman, Dungun dan Marang.
“Begitupun, secara keseluruhannya perjalanan PRU15 di Terengganu berlangsung dengan tenteram tanpa sebarang insiden menggugat ketenteraman awam,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Aluwi berkata, setakat ini, situasi di negeri ini kekal terkawal dan pemantauan akan terus dilakukan sehinggalah kerajaan Persekutuan dibentuk. – KOSMO! ONLINE