fbpx

Rimas hidup diatur, dikongkong bapa tiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shahir tidak mampu menahan kemarahan apabila dirinya perlu sentiasa mengikut arahan bekas bapa tirinya dalam segala hal termasuk soal pelajaran dan jodoh. – GAMBAR HIASAN

SEBAGAI seorang anak, adalah menjadi tanggungjawab dan kewajipan kita untuk menghormati ibu bapa dan juga mereka yang lebih berusia daripada kita.

Namun, adakalanya, sikap serta cara didikan ibu bapa yang tidak bersesuaian menyebabkan si anak mulai hilang hormat, sekaligus mengganggu keharmonian hubungan kekeluargaan.

Bagi Shahir (bukan nama sebenar), sikap bekas bapa tirinya yang terlalu gemar mengongkong dan masuk campur dalam urusan peribadinya menjadikan dia hilang hormat, seterusnya bertengkar.

Biarpun mengakui adakalanya dia akan teringat kepada bekas bapa tirinya itu dan rasa marah masih menguasai diri, namun dia bersyukur ibu dan bekas bapa tirinya itu telah memutuskan untuk bercerai.

Bercerita lanjut, Shahir berkata, ibunya berkahwin dengan bapa tirinya ketika dia berusia 13 tahun.

“Bapa kandung saya meninggal dunia ketika saya berusia 10 tahun dan tiga tahun kemudian, ibu berkahwin lain dengan bapa tiri yang merupakan seorang lelaki kaya.

“Ibu berkata, dia berbuat demikian kerana yakin masa depan kami tiga beradik akan cerah memandangkan bapa tiri merupakan seorang pekerja sebuah syarikat swasta yang bertugas di Eropah,” ujarnya.

Pada awalnya, hubungan mereka anak-beranak berjalan baik, namun bapa tiri Shahir mulai menunjukkan sikap sebenarnya ketika Shahir masuk ke universiti.

“Saya mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di luar negara, namun bapa tiri melarang saya untuk menerima tawaran itu.

“Dia menyuruh saya menyambung pengajian di universiti tempatan sahaja, atas alasan bimbang saya terkena kejutan budaya.

“Saya benar-benar tidak boleh menerima alasan bapa dan sejujurnya keputusan itu menyebabkan saya mulai tidak suka kepadanya,” ujar Shahir.

Selepas mengikut kata bapa tirinya itu, Shahir yang sudah lama menjalin hubungan dengan teman sekuliahnya memutuskan untuk terus mengikat tali pertunangan dan berkahwin selepas tamat pengajian.

Namun, bapa tirinya itu tidak berkenan dengan pilihan hati Shahir atas alasan gadis itu berasal dari kampung dan tidak sekufu dengannya menyebabkan kedua-dua mereka mulai bertengkar besar.

“Ibu juga tidak faham akan tindakan bapa tiri, namun oleh kerana menghormati suaminya, ibu meminta saya untuk memutuskan hubungan dengan teman wanita,” uajr Shahir.

Beberapa tahun kemudian, Shahir kemudiannya berkenalan dengan seorang rakan sekerjanya dan mahu mengahwini wanita itu.

Sekali lagi, hasratnya itu ditentang bapa tirinya, hanya kerana wanita itu lebih berusia daripada Shahir.

Shahir terpaksa memutuskan hubungannya dengan kekasih hati dan mulai membawa diri dengan bekerja di sebuah negeri di utara tanah air.

Di situ, dia berkenalan pula dengan seorang wanita lain Noni (bukan nama sebenar).

Keakraban mereka akhirnya membibitkan rasa cinta dalam diri Shahir yang kesunyian dan Shahir serius mahu memperisterikan Noni.

Namun, hasratnya itu sekali lagi ditentang bapa tirinya yang memberikan alasan bahawa Shahir akan berdepan masalah apabila berkahwin dengan Noni memandangkan wanita itu merupakan seorang workaholic.

“Bapa tiri gemar membuat andaian melulu dan seterusnya membuat keputusan yang tidak masuk akal.

“Dia berkeras tidak akan sesekali memberi restu kepada perkahwinan saya sekiranya saya melanggar ‘arahannya’,” ujar Shahir.

Tentangan demi tentangan yang dihadapi menyebabkan Shahir mulai membenci lelaki itu lalu memutuskan untuk tetap berkahwin dengan Noni.

Perkara itu menyebabkan Shahir dihalau keluar daripada rumah mereka, malah Shahir juga dihalang untuk berjumpa dengan ibunya.

“Keputusan bapa tiri yang memisahkan saya dengan ibu sudah cukup melampau.

“Lebih teruk lagi, tidak lama selepas saya dihalau, saya mendapat tahu bahawa bapa tiri selama ini menyimpan seorang perempuan simpanan, menyebabkan saya tidak berfikir panjang dan memujuk ibu agar bercerai dengannya,” kata Shahir.

Ujar Shahir, selepas perpisahan itu, mereka sekeluarga semakin bahagia dan berharap agar tidak lagi dipertemukan dengan bekas bapa tirinya itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI