WASHINGTON – Seorang gadis berusia 18 tahun di Amerika Syarikat (AS) dirakam memanjat semula ke dalam bilik selepas melarikan diri daripada penderanya untuk mendapatkan makanan dan air, lapor akhbar Daily Star semalam.
Rakaman itu tular di media sosial. Mangsa dikatakan selama ini dikurung oleh ibu dan neneknya di dalam bilik tidurnya.
Gadis yang tidak dikenali itu hanya diberikan sedikit makanan dan sebuah baldi untuk membuang najis.
Ibu mangsa, Addy Gonzales serta neneknya, Maria Pasarin kemudian didakwa atas dua pertuduhan iaitu penderaan kanak-kanak dan mengurung mangsa. Seorang lelaki yang bersubahat, Daniel Omezcua turut didakwa.
Polis dimaklumkan mengenai jenayah itu selepas mangsa dilihat menggunakan tangga untuk memanjat semula ke dalam biliknya pada 4 November lalu di Las Vegas Utara, AS
Gadis itu dilaporkan cuba mencari makanan dan air di kebun belakang rumah jirannya sebelum pemilik rumah itu menyaksikan kejadian itu melalui sistem televisyen litar tertutup.
Mangsa memaklumkan kepada jirannya bahawa dia memanjat turun menggunakan cadar dan pengikat pakaian. Dia cuba meminum air paip kerana kehausan dan mengalami dehidrasi yang teruk.
Jiran itu menggesa mangsa untuk menghubungi polis, tetapi dia berkata ‘tiada siapa yang akan mempercayainya’.
Polis dimaklumkan mengenai kejadian itu dan tiba di kediaman berkenaan pukul 3.30 petang (waktu tempatan). Gonzales, Omezcua dan Pasarin ditahan sejurus selepas itu.
Ketiga-tiga suspek dewasa itu dijadual dihadapkan ke mahkamah esok. – Agensi