PETALING JAYA – Pas meluahkan rasa syukur selepas memenangi 22 kerusi Parlimen di Kelantan dan Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Parti itu yang bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi Perikatan Nasional turut berjaya menawan sejumlah 51 kerusi Parlimen.
Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahaya berkata, susulan itu, pihaknya menyeru kepada semua agar melakukan sujud syukur di atas kemenangan tersebut.
“Pasakkan dalam hati bahawa kemenangan ini adalah anugerah daripada Allah SWT.
“Kekalkan sifat rendah diri, jauhi sikap bongkak dan mendabik dada yang bukan daripada ajaran Islam.
“Sesungguhnya, inilah keindahan akhlak yang dipamerkan oleh Rasulullah SAW ketika peristiwa Fathu Makkah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad berkata, pihaknya juga ingin menzahirkan ucapan penghargaan di atas sokongan luar biasa rakyat Malaysia terhadap Perikatan Nasional.
“Insya-Allah, kini adalah masa untuk menunaikan tanggungjawab dan amanah yang dipikulkan ke atas kami.
“Kita mengharapkan agar semua yang menang dapat menjalankan khidmat bakti sepenuhnya kepada rakyat dalam masa yang sama sebagai seorang penggubal undang-undang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE