GUA MUSANG – Impian masyarakat Orang Asli untuk memberikan hadiah kemenangan terakhir kepada penyandang kerusi Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebelum bersara lebur apabila beliau kalah tipis pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam.
Ketua Penghulu Orang Asli Kelantan, Bidi Ronggeng berkata, masyarakat Orang Asli terkejut, sedih dan kecewa dengan kekalahan Tengku Razaleigh atau Ku Li yang telah memimpin selama 10 penggal.
“Orang yang paling sedih adalah saya kerana saya menjadi pencadang Ku Li pada PRU15 ini dan mengharapkan beliau menang menjadi wakil rakyat kami.
“Saya masih teringat, semasa saya bawa Ku Li naik ke bilik penamaan calon. Beliau pegang bahu saya dan beritahu sudah tidak larat untuk jadi wakil rakyat. Namun kerana saya, penghulu Ibrahim Marijah dan Orang Asli yang masih mahukannya, dia terpaksa akur jadi wakil rakyat,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Bidi berkata lagi, dia berterima kasih dan tidak akan melupakan budi dan jasa Ku Li terhadap masyarakat Orang Asli.- KOSMO! ONLINE