JOHOR BAHRU – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi didesak untuk meletakkan jawatan sebagai presiden dengan segera.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ini berikutan keputusan yang mengecewakan yang menimpa parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berakhir semalam.
Beliau berkata, usaha untuk memulih dan memperbaiki parti itu perlu bermula sekarang dan sekiranya tidak berbuat demikian, parti tidak akan memenangi satu kerusi pun pada masa akan datang.
“Oleh itu, dengan rasa penuh hormat dan takzim, saya memohon supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi meletak jawatan sebagai presiden pada kadar yang segera, sebagaimana Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah berjiwa besar dengan meletak jawatan sebagai presiden pada 2018.
“Insya-Allah, tindakan berjiwa besar ini akan membantu kita mengambil langkah pertama untuk memulihkan dan menguatkan kembali parti UMNO yang kita semua cintai ini.
“Segala pengorbanan mereka akan dihargai dan Insya-Allah, perjuangan ini akan diteruskan. Semoga Allah SWT merestui dan merahmati perjuangan serta pengorbanan kita semua,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam menyaksikan BN sekali lagi gagal memenangi hati rakyat apabila gagal memperoleh majoriti mudah apabila hanya memenangi 30 kerusi Parlimen seluruh negara.-KOSMO! ONLINE