DOHA – Penjaga gol England, Aaron Ramsdale percaya bahawa rakan sepasukannya, Bukayo Saka tidak akan teragak-agak untuk menyempurnakan tugas sebagai pengambil sepakan penalti sekiranya diarahkan berbuat demikian.
Pemain muda Arsenal tersebut sebelum ini berdepan mimpi ngeri dan menjadi sasaran kecaman perkauman selepas dia gagal melakukan tugas berkenaan ketika aksi final Euro 2020 menentang Itali.
Bagaimanapun, Ramsdale percaya bahawa Saka yang juga rakan sepasukannya di Emirates sudah melupakan peristiwa berkenaan dan menjadikannya sebagai pengajaran bermakna untuk tampil lebih baik pada kempen Piala Dunia Qatar 2022.
“Sudah tentu dia kini lebih bersedia. Saya fikir dia sedar bahawa apa yang berlaku sebelum ini sudah berlalu dan dia perlu bangkit menjadi lebih baik.
“Dia sedar mengenai perasaannya ketika ini dan saya berharap dia mampu untuk menyempurnakan tugas mengambil sepakan itu jika khidmatnya diperlukan sekali lagi oleh England,” kata Ramsdale.
Selepas berdepan kegagalan bersama England pada aksi Euro tersebut, Saka telah membuktikan bahawa momen itu tidak memberikan kesan yang mendalam untuk kariernya.
Dia telah berjaya menyempurnakan beberapa sepakan penalti dalam beberapa perlawanan berprofil tinggi di Liga Perdana Inggeris melibatkan perlawanan menentang Chelsea, Manchester United dan Liverpool. – AGENSI