DOHA – Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo langsung tidak terkesan dengan spekulasi bahawa Manchester United sedang mengambil langkah untuk menamatkan kontraknya.
Pihak pengurusan United berang dengan kenyataan dibuatnya dalam satu temu bual eksklusif bersama Piers Morgan.
Difahamkan, The Red Devils mencari jalan untuk ‘menghalau’ Ronaldo, 37, lebih awal dari Old Trafford berbanding menunggu tarikh sebenar kontraknya tamat pada Jun tahun depan.
Justeru, Ronaldo berkemungkinan besar menjadi ejen bebas apabila tamat tugasannya bersama Portugal pada saingan Piala Dunia 2022 bulan depan.
Bagaimanapun, situasi itu ternyata berbeza sama sekali apabila riak wajah Ronaldo dilihat tenang sewaktu tiba di Lapangan Terbang Hamad, Qatar bersama skuad Portugal kelmarin.
Malah, bekas penyerang Real Madrid dan Juventus itu kelihatan tidak mengalami masalah kesihatan seperti dilaporkan yang menyebabkan dia tidak turut serta dalam aksi persahabatan menentang Nigeria.
Ronaldo pastinya mahu ‘melupakan’ segala masalahnya bersama United dan memberikan fokus membantu Portugal menjuarai Piala Dunia 2022.
Skuad bimbingan Fernando Santos itu akan memulakan kempen menentang Ghana pada 25 November ini diikuti Uruguay (29 November) dan Korea Selatan (2 Disember). – AGENSI