DOHA – Christopher Nkunku tampil mempertahankan Eduardo Camavinga selepas pemain Real Madrid itu menjadi subjek serangan perkauman sepanjang minggu ini.
Terjahan yang dilakukan mengakibatkan Nkunku hilang tempat dalam skuad Perancis ke Piala Dunia dan situasi itu menyaksikan Camavinga menjadi mangsa cemuhan penyokong dalam media sosial.
Bagaimanapun, Nkunku merasakan sekarang bukan masanya untuk menuding jari sebaliknya semua pihak perlu bersatu dan memberikan sokongan kepada Les Bleus.
“Sekarang adalah masanya untuk saya bekerja ke arah satu objektif iaitu untuk kembali lebih kuat. Seperkara lagi adalah memikirkan tentang Eduardo Camavinga yang menjadi mangsa secara tidak adil.
“Piala Dunia sepatutnya menjadi detik harmoni dan bukannya perpecahan. Terima kasih kepada semua kakitangan dan rakan sepasukan atas sokongan mereka kepada saya.
“Saya akan sentiasa menjadi penyokong kamu. Tolong hadirkan rasa bangga kepada kami,” katanya.
Perancis diundi dalam Kumpulan D bersama Australia, Denmark dan Tunisia dan akan membuka tirai saingan menentang Australia, awal pagi Rabu ini.
Sebagai ganti, pengendali Perancis, Didier Deschamps memanggil Randal Kolo Muani bagi menggantikan tempat Nkunku dan bintang Eintracht Frankfurt itu akan terus sertai pasukan di Doha.
“Didier Deschamps memutuskan untuk memanggil Muani bagi menggantikan Christopher Nkunku. Muani kini berada di Jepun bersama pasukannya dan dia akan terus sertai kami di Doha,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Perancis. – AGENSI