LIMA, PERU – Dua anggota maut apabila sebuah pesawat penumpang merempuh trak bomba ketika berlepas di landasan sebuah lapangan terbang di Lima, Peru.
Syarikat penerbangan LATAM yang mengendalikan penerbangan domestik itu berkata, seramai 102 penumpang berada di dalam pesawat tersebut namun, tiada penumpang atau kru maut.
Rakaman video oleh saksi yang disiarkan saluran televisyen Peri memaparkan sebuah pesawat Airbus A320 berlepas pada kelajuan penuh dan melanggar trak bomba yang turut bergerak laju.
Pesawat berkenaan meneruskan penerbangan tetapi bahagian kanannya terseret di sepanjang landasan sebelum mengeluarkan api dan asap. Bahagian belakang pesawat itu dilaporkan terbakar teruk.
“Kami berasa kesal atas kehilangan nyawa dua anggota Bomba Aeronautik LAP dalam kemalangan yang berlaku antara sebuah jentera bomba dan pesawat LA2213 dari Lima ke Juliaca,” kata Lima Airport Partners (LAP).
Tambah pengendali Lapangan Terbang Antarabangsa Jorge Chavez itu, pasukannya menyediakan bantuan yang diperlukan kepada semua penumpang yang berada dalam keadaan baik.
“Kami kini menjalankan siasatan untuk menentukan punca kejadian,” tambahnya.
Pejabat pendakwa raya akan melancarkan siasatan ke atas kebarangkalian wujudnya unsur jenayah bunuh dan kecederaan.
LAP berkata, operasi di lapangan terbang itu dihentikan seketika sehingga notis selanjutnya dikeluarkan. – AFP