SUBANG – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa parti gabungannya sudah berjaya untuk membentuk kerajaan baharu Malaysia selepas tamatnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam.
Ahli Parlimen Tambun yang baharu itu juga berkata, beliau mendakwa pengumuman yang dibuat Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yasin yang menyifatkan gabungannya juga berjaya membentuk kerajaan baharu adalah ‘rumors’ (khabar angin).
“Kami adalah parti gabungan yang paling banyak kerusi dalam PRU kali ini, apa yang diumumkan Muhyiddin (PN) adalah rumors.
“Namun kami akan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi membentuk kerajaan dalam masa terdekat,” jelasnya ketika sidang akhbar di Hotel Grand Dorset, Subang sebentar tadi.
Tambah beliau, PH juga yakin gabungan itu mempunyai cukup kerusi untuk membentuk kerajaan selepas berjaya memperolehi lebih 111 kerusi yang turut disertai ahli-ahli Parlimen lain yang setuju untuk bekerjasama.
Anwar berkata, kerjasama itu telah disertakan dengan dokumen perjanjian dan ia akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat.
“Tidak ada parti yang perolehi majoriti mudah, PH adalah blok terbesar setakat ini dan kita memerlukan beberapa proses perbincangan.
“Saya dimaklumkan kami sudah capai persefahaman dan persetujuan untuk bentuk kerajaan apabila diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Kita memperolehi jumlah yang mengcukupi untuk membentuk kerajaan,” katanya
Terdahulu, Pakatan Harapan telah berjaya memperolehi 81 kerusi parlimen sehingga pukul 4 pagi mendahului parti bertanding lain dalam PRU kali ini. – KOSMO! ONLINE.