JAKARTA – Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan sekumpulan pelajar menendang seorang wanita warga emas dalam kejadian yang berlaku di Sumatera Utara, lapor laman berita Detik hari ini.
Kumpulan pelajar tersebut kini sudah ditahan polis.
Video kejadian memaparkan kumpulan pelajar berkenaan yang masih berpakaian sekolah sedang menaiki motosikal di sebatang jalan raya.
Mereka kemudian mendekati seorang wanita warga emas yang berjalan kaki di tepi jalan. Salah seorang daripada mereka kemudian turun dari motosikal dan menendang mangsa sehingga tersungkur.
Setelah terjatuh, mangsa menjerit meminta tolong sebelum berdiri dan melarikan diri. Pelajar-pelajar itu kemudian meninggalkan kawasan tersebut.
Ketua Polis Tapanuli Selatan, AKPB Imam Zamroni berkata, pihaknya sudah menahan enam pelajar yang terlibat dalam kejadian tersebut.
Imam menjelaskan bahawa pelaku merupakan pelajar sekolah menengah yang berusia 15 hingga 16 tahun. – Agensi