fbpx

Pakai sweater turtleneck jimat tenaga elektrik – Gabenor Tokyo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMAKAIAN sweater turtleneck bertujuan untuk menghangatkan badan semasa musim sejuk. - Getty Images

TOKYO – Gabenor Tokyo, Yuriko Koike meminta penduduk ibu kota Jepun itu memakai baju sejuk jenis turtleneck ketika musim sejuk akan datang sebagai kaedah untuk mengurangkan penggunaan tenaga elektrik, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) semalam.

Pekerja-pekerja di Dewan Bandaraya turut diminta menjadi contoh kepada penduduk dengan memakai sweater turtleneck.

Tokyo sebelum ini mengeluarkan panduan untuk mengurangkan penggunaan tenaga elektrik pada musim sejuk akan datang di tengah-tengah isu bekalan tidak menentu dan kenaikan harga tenaga.

Pegawai-pegawai yang hadir dalam mesyuarat bagi membincangkan isu tersebut bersetuju dengan cadangan pemakaian baju tersebut.

Menurut Koike, orang ramai harus mengambil inspirasi daripada Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang gemar memakai sweater turtleneck, ketika ditanya sama ada pakaian itu sesuai dipakai di tempat kerja. 

“Ia memanaskan badan malah penggunaan tenaga akan dapat dikurangkan seterusnya membantu kita mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida.

“Di Eropah, Presiden Macron mendahului trend dengan memakainya,” kata Koike.

Tidak jelas sama ada Macron memakai sweater turtleneck kerana krisis tenaga atau fesyen namun, minatnya terhadap baju sejuk itu telah menjadi topik perbincangan untuk beberapa waktu.

Awal bulan ini, kerajaan Jepun meminta penduduk menutup lampu yang tidak digunakan, memakai berlapis-lapis pakaian ketika berada di rumah dan menurunkan suhu pemanas antara 1 Disember 2022 hingga 31 Mac 2023. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI