PETALING JAYA – Parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA menyatakan telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam.
Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, Ahmad Zahid perlu meletakkan jawatan dengan terhormat supaya seorang pemimpin baharu dapat mengambil alih pucuk pimpinan BN untuk menentukan hala tuju parti.
“MCA juga terkejut dan kecewa atas keputusan Ahmad Zahid menangguhkan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dijadualkan pada malam ini.
“Pada masa keadaan politik negara masih tidak stabil dan tidak menentu selepas PRU15 baru-baru ini, keperluan Mesyuarat Dewan Tertinggi adalah amat terdesak untuk membincangkan situasi politik terkini dan membuat keputusan BN sebagai satu blok,” ujarnya hari ini.
Tambahnya lagi, MCA mengambil pendirian yang tegas bahawa tiada mana-mana pihak yang berhak mewakili BN untuk berunding dengan mana-mana parti politik tanpa mandat daripada Dewan Tertinggi BN.
“Pada masa yang sama, MCA berpendapat bahawa pemangku pengerusi BN perlulah memanggil Mesyuarat Dewan Tertinggi dengan kadar segera,” jelasnya.- KOSMO! ONLINE