WASHINGTON –Joe Biden menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-80 hari ini sekali gus dilihat sebagai sesuatu yang bersejarah untuk Amerika Syarikat (AS) kerana buat pertama kalinya, Presiden negara itu mencapai usia sedemikian, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.
Sensitiviti politik kerana mempunyai Presiden berusia 80 tahun bagaimanapun dilihat membataskan acara sambutan besar-besaran daripada diadakan. Keadaan itu berbeza ketika Barrack Obama mencapai usia 50 tahun ketika pentadbirannya yang menyaksikan beberapa majlis keramaian diadakan.
Apa yang menjadi perhatian ketika ini adalah spekulasi mengenai sama ada Biden akan bertanding semula pada Pilihan Raya Presiden 2024, satu keputusan yang dikatakan akan dibuat bersama ahli keluarganya.
Bagaimanapun, keadaan kesihatan Biden dan keupayaan mentalnya dikatakan akan menjadi isu utama yang bakal dibangkitkan Parti Republikan ketika kempen pilihan raya tersebut nanti, sesuatu yang dilihat berasas untuk rakyat AS berfikir sedalam-dalamnya sebelum memilih ketua negara.
Biden merupakan Presiden AS paling berusia apabila beliau berumur 77 tahun ketika dipilih pada November 2020 dan berusia 78 tahun semasa memasuki pejabat di White House pada tahun berikutnya.
Presiden AS sebelum ini, Ronald Reagan berusia hampir 78 tahun ketika beliau meninggalkan White House pada Januari 1989.
Dalam pada itu, akhbar Politico bulan lalu melaporkan bahawa tiada sebarang perancangan dibuat bagi menyambut hari kelahiran Biden secara besar-besaran kerana pemimpin tersebut dikatakan akan memberi fokus kepada kerja.
Wanita Pertama, Jill Biden bagaimanapun dilaporkan akan mengadakan acara makan tengah hari di White House hari ini, kata Setiausaha Akhbar Karine Jean-Pierre.
“Kebiasaannya mereka menyambut (hari lahir) pada Rabu sebelum Hari Kesyukuran namun, disebabkan semua ahli keluarga berada di sini hujung minggu ini, mereka dapat menyambut hari kelahiran Presiden pada hari yang sepatutnya,” kata Jean-Pierre.
Seluruh ahli keluarga Biden berkumpul di Washington hujung minggu ini bagi menghadiri majlis perkahwinan cucu beliau, Naomi di White House bersama tunangnya, Peter Neal. – Agensi