PETALING JAYA – Pimpinan tertinggi UMNO melantik Isham Jalil sebagai Ketua Penerangan parti itu berkuat kuasa hari ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO tersebut melalui hantaran di Facebooknya sebentar tadi.
“Saya baru dimaklumkan melalui (panggilan) telefon oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan dan Setiausaha Agong UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
“Bahawa susulan daripada peletakan jawatan Shahril Sufian Hamdan dan perbincangan di antara kepimpinan tertinggi parti, saya telah dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkuat kuasa hari ini,” katanya.
Menurut Isham, surat rasmi pelantikan tersebut telah pun ditandatangani oleh kepimpinan parti.
“Saya ucapkan terima kasih atas perlantikan ini dan kepercayaan parti terhadap saya. Saya akan memegang amanah ini dengan sebaiknya,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Shahril yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Alor Gajah, Melaka, mengumumkan peletakan jawatan ekoran kekalahan parti itu dalam Pilihan Raya ke-15 (PRU15). – KOSMO! ONLINE