PETALING JAYA – Impian calon Bebas, Abdul Rani Kulup Abdullah untuk mengubah Port Dickson jadi Krabi, terkubur setelah mengalami kekalahan teruk di Parlimen Port Dickson, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Abdul Rani yang juga seorang aktivis sosial itu memuat naik satu hantaran di akaun Facebooknya, sebelum keputusan rasmi keluar malam tadi, berikutan tiada langsung undi buatnya pada ketika itu.
“Ayah bukan kalah, tetapi kemenangan ayah ditangguhkan. Rancangan nak ubah Port Dickson sebagai Krabi mungkin patut dilupakan.
“Orang ramai pergilah Port Dickson hadap khemah tepi pantai itu. Konon-konon positif dan sokong, sekarang ayah tahu semuanya tikam belakang semata,” tulisnya kecewa.
Rata-rata di ruangan komen, orang ramai terhibur dengan hantaran tersebut dan memberikan semangat buat Abdul Rani.
“Biasalah, hero memang kalah awal,” seloroh salah seorang pengguna Facebook.
“Ayah kalah di lapangan politik, tetapi menang di hati peminat,” komen pengguna yang lain pula.
Berdasarkan keputusan rasmi di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), calon Pakatan Harapan (PH), merangkap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berjaya merampas kerusi tersebut dengan majoriti 23,601 undi.
Beliau sekaligus menewaskan Datuk P. Kamalanthan (Barisan Nasional) yang memperoleh 22.96 peratus undi, Rafiei Mustapha (Perikatan Nasional) memperoleh 22.74 peratus undi, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri (Pejuang) memperoleh 1.35 peratus undi dan Abdul Rani hanya memperoleh 0.55 peratus undi.-KOSMO! ONLINE