PETALING JAYA – Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein nyatakan tetap teguh dengan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan.
Calon Barisan Nasional Parlimen Sembrong itu berkata, beliau bagaimanapun menghormati pilihan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Katanya, negara serta rakyat kini memerlukan kerajaan yang stabil dalam melangkah ke hadapan.
“Rakyat telah membuat pilihan mereka dalam #PRU15, dan ia harus kita hormati serta insafi.
“Jelas tiada satu parti pun berupaya membentuk kerajaan. Parlimen kini tergantung,” katanya dalam satu hantaran di Facebook tadi.
Justeru katanya, pemimpin mesti bekerjasama dengan pihak yang berkongsi nilai dan matlamat yang sehaluan.
“Namun, saya konsisten sejak sebelum ini lagi, dan saya tetap teguh pendirian untuk tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan,” ujarnya.
Terdahulu, parti-parti politik menghadapi masalah membentuk kerajaan Persekutuan ekoran tiada yang mencapai majoriti mudah sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen dalam PRU15.
Setakat pukul 2 pagi tadi, Pakatan Harapan (PH) menang 76 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) pula 73 kerusi, Barisan Nasional (BN) 29 kerusi, Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Parti Warisan Sabah (tiga), Parti Bangsa Malaysia (satu) dan Bebas (dua kerusi).
Sebelum itu, Hishammuddin berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Sembrong apabila meraih sebanyak 22,572 undi menewaskan pencabarnya daripada Pakatan Harapan (PH), Hasni Abas (11,692) dan Perikatan Nasional (PN), Joe Aziz iaitu 6,666. – KOSMO! ONLINE