KUALA LUMPUR- “Jadi, ini adalah hadiah bagi saya kepada penduduk Titiwangsa,” demikian kata Datuk Seri Johari Abdul Ghani selepas Barisan Nasional (BN) berjaya merampas semula kerusi Parlimen Titiwangsa pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketika ditemui pemberita di Pusat Pengiraan Undi Rasmi di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki, Johari turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh penduduk Titiwangsa khususnya pengundi kerana memberikan kepercayaan kepada BN kali ini.
“Saya merasa segala penat lelah bekerja walaupun bukan lagi menjadi wakil rakyat pada PRU14 yang lalu. Saya sentiasa bersama rakyat selama empat tahun enam bulan, akhirnya mereka menghargainya.
“Jadi, ini adalah hadiah bagi saya kepada penduduk Titiwangsa dan saya mengucapkan terima kasih kepada jentera dan pengundi kerana sekali lagi beri kepercayaan kepada untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanya kepada pemberita di sini tadi.
Katanya, setiap penduduk Titiwangsa juga akan diberikan perkhidmatan terbaik olehnya selepas memenangi kerusi tersebut.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai gerak kerja selepas memenangi PRU15, Johari berkata, fokus utamanya ialah memberi fokus kepada isu membabitkan flat Sungai Baru, Pasar Raja Bot, Pasar Datuk Keramat dan Flat Tun Razak.
“Ini adalah isu yang saya akan bawa supaya kerajaan melihat semula bagaimana nasib mereka ini.
“Di samping itu, saya akan mainkan peranan yang lebih aktif dalam Parlimen khususnya untuk menyumbang dalam pembangunan sesebuah negara,”ujarnya.
Pada PRU kali ini, Johari berjaya merampas kembali kerusi berkenaan selepas meraih 25,042 dengan majoriti 4,632 undi.
Keputusan itu sekali gus membolehkan Johari menewaskan pencabarnya, Khalid Abdul Samad mewakili Pakatan Harapan (PH) yang meraih 20,410 undi.
Calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Rosni Adam pula memperoleh sebanyak 14,518 undi manakala calon Pejuang, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan meraih 888 undi. – KOSMO! ONLINE