fbpx

Gandingan Azeem, Ashe letus sinergi pecutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZEEM bakal mendapat banyak manfaat menjadi rakan sepelatih kepada Ashe yang pernah beraksi di separuh akhir Kejohanan Dunia 2022 dan Sukan Komanwel Birmingham 2022.

PELARI terpantas Malaysia, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi yakin membuat keputusan tepat memilih Universiti Auburn sebagai ‘rumah keduanya’ dalam misi bergelar atlet pecut 100 meter (m) bawah catatan masa 10 saat (s).

Prestasi Azeem, 18, mampu melonjak kerana bakal menjadi rakan sepelatih kepada raja pecut Nigeria, Favour Ashe yang juga pelari terpantas universiti di Alabama, Amerika Syarikat itu.

Pemegang rekod 100m kebangsan dengan catatan 10.09s itu mengakui, sudah tidak sabar untuk bergandingan dengan Ashe, 20, yang merupakan naib juara Divisyen 1 NCAA tahun ini.

“Saya pilih sebab (Auburn) tengah bina program baharu dengan ketua jurulatih dari Houston (Leroy Burrell). Dia satu-sa­tunya jurulatih yang berjaya latih atlet kolej bawah 9.80s.

“Rakan sepasukan saya nanti pun pindah dari Universiti Tennessee ikut jurulatih (Burrell) ke Auburn. Kalau ikut atas kertas, saya kedua terpantas di Auburn,” kata jaguh pecut dari Perak itu ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Azeem bakal mendapat ba­nyak manfaat menjadi rakan sepelatih kepada Ashe yang pernah beraksi di separuh akhir Kejohanan Dunia 2022 dan Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Rekod peribadi atlet berusia 20 tahun itu ialah 9.99s selain pernah membantu kuartet 4x100m Nigeria meraih pingat gangsa Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Dia juga pernah mencatat masa 100m terpantas Nigeria dan juga ke-22 sepanjang zaman iaitu 9.79s awal tahun ini tetapi ia tidak diiktiraf kerana mendapat bantuan angin lebih 3 meter per saat (m/s).

Selain itu, kehadiran Burrel selaku bekas pemegang rekod 100m dunia sebanyak dua kali dengan catatan 9.90s (1991) dan 9.85s (1994) yang sudah ‘mengkaji’ Azeem sejak 2019 adalah faktor utama pemilihannya ke Auburn.

“Saya tertarik dengan Auburn sebab jurulatih (Burrell) memang ‘kaji’ saya sejak 2019. Saya dapat ranking pertama dunia dalam acara 200m dan sejak itu dia ikut saya sampai sekarang,” jelas Azeem.

Azeem berharap pemilihannya ke Auburn dapat membantunya layak ke Kejohanan Dunia 2023 di Budapest, Hungary pada Ogos dan Sukan Asia di Hangzhou, China sebulan kemudian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI