fbpx

Empat pelajar mati ditikam, rakan sebilik bukan suspek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR menunjukkan pelajar Universiti Idaho, Ethan Chapin, Xana Kernodle, Madison Mogen dan Kaylee Goncalves. – KAYLEE GONCALVES/INSTAGRAM

WASHINGTON – Polis yang menyiasat kes tikaman maut empat pelajar Universiti Idaho berkata kelmarin bahawa mereka tidak percaya dua rakan sebilik yang terselamat, terlibat dalam jenayah itu, lapor saluran berita ABC kelmarin.

Insiden berlaku di bandar Moscow dalam negeri Idaho.

Kesemua mangsa dibunuh di sebuah rumah berhampiran kampus awal pagi Ahad, minggu lalu dan ditemui beberapa jam kemudian. Mereka dikenali sebagai Ethan Chapin (20 tahun), Madison Mogen (21 tahun), Xana Kernodle (20 tahun) dan Kaylee Goncalves (21 tahun). 

Polis belum menahan mana-mana suspek.

Mangsa-mangsa itu dipercayai sedang tidur ketika serangan berlaku dengan masing-masing ditikam berulang kali, kata polis kelmarin yang memetik laporan koroner. Ada mangsa yang mengalami kecederaan kerana mempertahankan diri, namun tiada tanda serangan seksual berlaku.

Dua rakan sebilik wanita yang terselamat,  berada di rumah itu semasa kejadian dan mereka tidak cedera, kata  Ketua Polis Moscow, James Fry.

Keempat-empat pelajar itu dipercayai dibunuh antara pukul 3 pagi hingga 4 pagi Ahad lalu, kata Datuk Bandar Moscow, Art Bettge pula kepada ABC News.

Rakan sebilik yang terselamat berada di rumah apabila polis tiba selepas menerima laporan mengenai individu yang tidak sedarkan diri di rumah itu kira-kira tengah hari, kata Fry. Rakan sebilik mangsa bukan individu yang menghubungi talian kecemasan  911, demikian menurut jurucakap Polis Negeri Idaho, Aaron Snell. 

Identiti pemanggil 911 tidak didedahkan, manakala senjata yang digunakan untuk membunuh juga belum ditemui. – Agensi 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI