fbpx

Calon selebriti berputih mata, tapi tetap semangat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIGA calon selebriti yang bertanding pada PRU15 iaitu Ahmad Idham, Eizlan Yusof dan Lando Zawawi gagal memancing undi yang banyak daripada rakyat di kawasan bertanding masing-masing.

PETALING JAYA – Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam menyaksikan empat calon dalam kalangan penggiat seni terpaksa berputih mata apabila kemenangan tidak berpihak kepada mereka.

Meskipun masing-masing mempunyai reputasi dalam bidang seni dan aktif melaksanakan kerja kemasyarakatan, kriteria tersebut bagaimanapun dilihat masih belum mampu memancing undi rakyat.

Semangat calon-calon selebriti yang bertanding untuk membantu masyarakat di kawasan mereka bertanding tetap menyala walaupun kehilangan wang pertaruhan sebanyak RM10,000 disebabkan tidak berjaya mendapatkan 1/8 daripada undian.

Aktor, Azlan Sani Zawawi, 47, atau Lando yang bertanding atas tiket parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di Parlimen Tanjong Karang paling menonjol apabila meraih 3,557 undi.

Aktivis masyarakat daripada NGO Brotherhood Malaysia itu bagaimanapun tidak mampu mengenepikan penguasaan calon Perikatan Nasional (PN), Kapten (B) Datuk Dr. Zulkafperi yang mendapat 18,054 undi.

Lando berkata, dirinya tetap bersyukur apabila berpeluang memperkenalkan beberapa pembaharuan termasuk menubuhkan Brotherhoodsgsireh di kawasan Tanjung Karang.

“Kemenangan saya tidak penting berbanding kemajuan Tanjung Karang dan Malaysia apatah lagi dapat membantu orang kampung memperbaiki infrastruktur sekitar menerusi kerjasama dengan pelbagai agensi,” katanya.

Sementara itu, pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof yang mewakili Gerakan Tanah Air (GTA) di bawah Pejuang hanya mampu meraih 460 undi apabila kerusi Parlimen Sabak Bernam dimenangi calon Perikatan Nasional (PN), Kalam Salam dengan majoriti 5,056 undian.

Biarpun tertinggal jauh, pemilik nama sebenar Idris Md. Yusof, 51, itu tidak patah semangat, sebaliknya mahu terus bergerak sebagai kelompok pendesak pada penyandang agar mereka melaksanakan kerja mengikut mandat dijanjikan kepada masyarakat.

“Apabila sudah kenal pasti isu-isu di sana mudah untuk kita bersuara bagi memastikan kawasan ini terus membangun dengan lebih pantas.

“Sabak Bernam mempunyai banyak kelebihan yang boleh ditonjolkan bagi memantapkan lagi ekonomi masyarakat setempat, namun tidak diberi perhatian oleh orang sebelumnya,” katanya.

Sementara itu, teman seperjuangan yang turut bertanding dengan tiket GTA, Ahmad Idham Ahmad Nadzri juga reda menerima kekalahan dengan hanya mendapat 1,084 undian di Parlimen Port Dickson.

Parlimen berkenaan dimonopoli calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Aminuddin Harun yang menang bergaya dengan majoriti sebanyak 23,601 undian.

JUREY Latiff yang bertanding di Lenggong, Perak tewas kepada calon BN apabila hanya mampu meraih sebanyak 3,382 undi.

Sebagai Penyelaras Gerakan Tanah Air Parlimen Port Dickson, Ahmad Idham cukup komited untuk menjadikan kawasan itu sebagai Hab Pendidikan Khas.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada warga Port Dickson yang telah memberikan kepercayaan kepada saya dengan undi kalian.

“Meskipun tewas di sini, usaha saya takkan terhenti bagi merealisasikan Port Dickson selaku hab pendidikan khas yang mampu memberi manfaat buat golongan sasaran dan komuniti untuk jangka panjang,” katanya.

Sementara itu seorang lagi calon selebriti, Datuk Jurey Latiff yang mewakili Pakatan Harapan (PH) di bawah tiket PKR di Lenggong, Perak tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) apabila meraih 3,382 undi.

Jurey yang juga anak jati Lenggong berkata, berharap iltizam untuk menubuhkan Lenggong Filem Studio bagi membuka peluang pekerjaan kepada lebih 5,000 orang muda dapat direalisasikan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI