fbpx

Ada urusan tertangguh, jumpalah waris – Zamani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAMANI kini tinggal bersendirian tanpa saudara kandung selepas pemergian kakak dan abangnya.

PETALING JAYA – Penyanyi Zamani yang masih berduka atas pemergian abangnya, Zulfazil kelmarin meminta sesiapa yang mempunyai urusan tertangguh dengan Allahyarham supaya bertemu waris terdekat.

Katanya, mereka sekeluarga turut berharap semua pihak yang pernah berurusan dengan arwah dapat memaafkan andai ada kesilapan tidak disengajakan, selain menghalalkan segala pemberian.

“Jika ada urusan arwah abang yang masih tertangguh dengan mana-mana pihak, saya dengan rendah hati meminta anda untuk maklumkan kepada saya atau anak sulung arwah, Aqmal Iqram Zulfazil.

“Mohon maafkan segala salah silap semasa hidupnya dan halalkan pemberian kepadanya, zahir dan batin.

“Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah dan doa untuk arwah serta semua yang terdahulu meninggalkan kita,” katanya kepada Kosmo! Online.

Penyanyi Gerimis Mengundang itu turut berkongsi perkara berkenaan menerusi media sosial miliknya.

Pada masa sama, Zamani tidak ketinggalan menzahirkan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam urusan rawatan dan pengebumian jenazah yang meninggal dunia malam kelmarin.

Menurut penyanyi itu, majlis pengebumian arwah yang disempurnakan di Tanah Perkuburan Kampung Melayu Subang pagi semalam berjalan lancar.

“Seperti dimaklumkan, abang saya Zulfazil Ibrahim meninggal dunia pada 18 November 2022 pukul 10. 20 malam.

“Dengan berkat doa semua, urusan pengebumian selamat dilaksanakan dan mewakili keluarga arwah abang ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dengan urusan rawatan dan pengebumian.

“Kepada pihak Hospital Sungai Buloh, ahli keluarga, saudara mara, sahabat handai, semua kenalan dan peminat yang mendoakan arwah, semoga Allah merahmati anda semua,” katanya lagi.

Terdahulu, Zamani yang masih dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan tulang belakang melengkung pada 7 November lalu berdepan dugaan apabila kehilangan seorang lagi saudara kandung.

Allahyarham yang mempunyai sejarah penyakit sejak bertahun-tahun lalu menghembuskan nafas terakhir pada usia 57 tahun akibat kegagalan buah pinggang.

Hubungan Zamani dan Zulfazil juga sangat rapat sementelah mereka hanya tinggal dua beradik selepas pemergian seorang lagi saudara kandung.

Pada September 2020, penyanyi itu kehilangan satu-satunya kakak, Zuraidah yang juga ibu kepada penyanyi rap Zynakal akibat jangkitan kuman dalam darah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI