REMBAU – Seorang warga emas tidak lena tidur mengenangkan tanggungjawab undi memilih kerajaan buat kali ke-14 di Sekolah Menengah Agama Hj Mohd Yatim, di Gadong, di sini, hari ini.
Warga emas berkenaan, Zaharah Bujal, 72, berkata, semasa kali pertama negara melaksanakan pilihanraya umum dia tidak dapat mengundi di kampung halaman kerana berada di Singapura mengikut ayahnya yang bekerja di sana.
“Selepas tu memang saya undi, tak pernah tertinggal langsung. Malam tadi pun saya tak lena tidur kerana teringat-ingat nak mengundi esok. Walaupun sakit lutut, saya tetap juga semangat keluar mengundi bersama anak dan adik-beradik seawal pukul 8 pagi,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.
Zaharah yang hadir ke pusat pembuangan undi (PPU) telah dibantu oleh dua petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Muhammad Nazrin Azman, 29, yang merupakan kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Muhammad Shahriza Sahah, 25, yang merupakan peniaga dalam talian.
Kedua-duanya baru pertama kali bertugas sempena PRU15. – KOSMO! ONLINE